Sunday, October 28, 2018


Pengenalan diri 


Pang Siew Peng (0328684)


Nama saya Pang Siew Peng, saya belajar semester 5 yang bidang Accounting and Finance di Taylor’s University. Saya telah bertemu ramai kawan dan mendapat pengalaman di Universiti ini. Selain itu, Saya suka menonton filem atau drama semasa masa lapang saya (apabila tidak ada tugasan yang perlu atau peperiksaan). Cinta hidup dan kedamaian.



Ng Chao Yi (0327582)

Nama saya Ng Chao Yi, saya belajar semester 5 yang bidang International Business and Marketing di Taylor's University.  Saya seorang peminat basikal amatur. Saya suka menuai melalui hasil usaha saya sendiri seperti menunggang basikal. Pada masa akan datang, saya berharap dapat mengekalkan keupayaan saya menghadapi cabaran. 







Esther Au Yong (0327043)

Image may contain: Esther AY, smiling, snow and outdoor

Nama saya Esther Au Yong; kini berumur 22 tahun. Tahun ini adalah tahun kedua saya dalam kursus kejuruteraan mekanikal di Taylor’s University. Kemuncak kursus ini bagi saya ialah subjek yang mengajar program SolidWorks. Dengan program ini, saya boleh mereka bentuk idea-idea saya dalam 3D dengan menggunakan komputer, dan idea saya boleh dicetak untuk dijadikan sebuah modal 3D. Pada masa lapang, saya suka ajak kawan-kawan untuk makan angin, untuk main badminton, atau permainan lain.



Saturday, October 27, 2018


1)Kuingin Berterima Kasih

Berapa jauh wujud dengan sifat,
Sejauh lutut dengan pelipat.

Sarang semut dalam gelap,
Orang selimut selalu lelap.

Hitam-hitam pucuk kawa,
Sungguh hitam dipandang lawa.

Emas , perak tembaga suasa,
Malas bergerak tidak merasa.

Buah sintang buah senikul,
Satu memegang satu memikul.


Maksud
Rangkap 1
Melalui penampilan fizikal (luaran) individu, kita turut dapat melihat sikap dan perwatakannya kerana dua aspek ini tidak jauh berbeza. Jarak di antara lutut dengan pelipat sangat dekat (lutut di hadapan kaki manakala pelikat di bahagian belakang kaki). Jadi, perbuatan dan tingkah laku seseorang dapat menggambarkan diri, sikap, cara berfikir dan membuat keputusan. Dengan itu rangkap ini merupakan nasihat kepada masyarakat supaya menjauhi sifat atau sikap buruk.
Rangkap 2
Rangkap ini menyatakan bahawa orang yang berdiam diri, tidak melakukan sebarang pekerjaan akan ketinggalan. Sikap malas perlu dijauhi. Dalam erti kata lain, orang yang tidak produktif, akan rugi kerana mensia-siakan masa.
Rangkap3
Orang yang memiliki kuliy hitam tetap kelihatan cantik dan ada keistimewaannya. Sebarang kekurangan dalam diri tidak akan menjadi masalah sekiranya kita bijak menutupnya dengan kebolehan dan keistimewaan lain. Meskipun mempunyai kelemahan, kita tetap akan dipandang mulia sekiranya mempunyai ciri-ciri baik dan terpuji.
Rangkap 4
Individu yang malas berusaha tidak akan berpeluang menikmati kejayaan. Mereka sekadar kekal di takuk lama tanpa sebarang perubahan dan tidak akan mendapat rezeki yang banyak.
Rangkap 5
Individu yang cekap mampu melakukan dua atau lebih kerja dalam satu masa. Individu seperti ini bijak memanfaatkan masa dan peluang agar urusan-urusan yang dilakukan dapat selesai dengan cepat. Selain itu, rangkap ini boleh ditafsirkan sebagai keadaan dalam komuniti atau masyarakat yang saling membantu dan bekerjasama.


 Nilai
  1.    Baik hati
  2.    Gigih berusaha
  3.    Tolong-menolong
  4.   Berfikiran positif
  5. Rajin
  6.  Bekerjasama

Pengajaran


  1.  Kita hendaklah menanam sifat baik hati dalam diri dan dijadikan amalan dalam kehidupan.
  2.  Kita hendaklah gigih berusaha dalam mencapai matlamat hidup supaya tidak ketinggalan atau keciciran.
  3.   Kita hendaklah berfikiran positif dan mengelakkan perasaan terlalu merendah diri.
  4. Kita hendaklah rajin berusaha demi mencapai kejayaan.
  5. Kita hendaklah bijak dalam melakukan sesuatu pekerjaan agar apa yang dilakukan dapat siap dengan cepat.
  6.  Kita hendaklah saling membantu dan bekerjasama agar kerja yang berat menjadi ringan.




Petikan: Abdullah, Q. (2016). Pantun Dua Kerat (Nasihat) Antologi Kuingin Berterima Kasih KOMSAS Tingkatan 1. Qcikgubm.blogspot.com. Available at: https://qcikgubm.blogspot.com/2016/11/pantun-dua-kerat-nasihat-antologi.html#.W9J8aZMzY2w
[Accessed 26 Oct. 2018].


2)MUHIBAH DAN PERPADUAN
Petang hari pergi ke pekan,

Pulang membawa sebungkus laksa;

Hidup muhibah perlu diamalkan,

Di negara Malaysia berbilang bangsa.

Cantik bergugus buah papaya,

Masak dipetik satu persatu;

Walaupun berlainan bangsa budaya,

Kerana muhibah hidup bersatu.

Air mengalir dalam terusan,

Mengairi sawah beratusan relung;

Bekerjasama segala urusan,

Tanda bersatu bergotong-royong.

Tuan puteri dari kayangan,

Senyuman manis seperti madu;

Bermacam-macam keturunan bukan halangan,

Untuk membina bangsa yang padu.

Enak nian air kelapa,

Penawar sakit mujarab sekali;

Kebudayaan asal tidak dilupa,

Kebudayaan nasional mereka banggai.


Maksud:
Rangkap 1
Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada berbilang bangsa dan rakyatnya perlu mengamalkan cara hidup muhibah.
Rangkap 2
Walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya, namun kerana amalan cara hidup muhibah, rakyat dapat hidup bersatu padu.
Rangkap 3
Dalam semua urusan, rakyat hidup bersatu padu dan bergotong-royong berkat hidup
bekerjasama.
Rangkap 4
Rakyat yang berbilang keturunan tidak akan menjadi halangan untuk rakyat Malaysia membentuk menjadi bangsa yang bersatu padu.
Rangkap 5
Sebagai rakyat yang berbilang kaum, tentulah mempunyai berbilang budaya dan cara hidup. Namun, kebudayaan dan cara hidup asal tidak akan dilupakan walaupun kebudayaan nasional diamalkan.

Nilai
1 .Nilai bekerjasama.
Masyarakat berbilang kaum hidup bekerjasama menjalankan amalan gotong-royong.
2. Nilai hormat-menghormati.
Masyarakat yang berbilang kaum saling menghormati adat dan budaya masing-masing.
3. Nilai semangat bermasyarakat.
Menjalankan amalan gotong-royong menunjukkan semangat hidup bermasyarakat.
4. Nilai Patriotisme.
Masyarakat yang cinta akan tanah air dan sentiasa bangga dengan kebudayaan tempatan.
Pengajaran
1. Kita hendaklah bertolak ansur dalam segala hal sebagai rakyat sebuah negara berbilang kaum.
2. Kita hendaklah hidup bersatu padu untuk mengekalkan keharmonian negara.
3. Kita hendaklah hidup berkerjasama dan bertoleransi dalam masyarakat yang berbilang kaum.

Petikan: Cikgu Phong From SMK Jalan Damai, B. (2011). Pantun Empat kerat (Muhibah dan Perpaduan).Cikguphong.blogspot.com. Available at: http://cikguphong.blogspot.com/2011/03/pantun-empat-kerat-muhibah-dan.html
[Accessed 26 Oct. 2018].


3) BERSATU HATI

Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang;
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang payah menjadi senang.

Melangir keris pusaka hikmat,
Keris sejarah sejak bahari;
Kalau gadis ingin selamat,
Jangan murah menjual diri.

Menanam bunga di dalam pasu,
Bunga melati, bunga pandan;
Jangan ikut hawa nafsu,
Kelak nanti binasa badan.

Nyiur muda dibuat pengat,
Mari dimakan bulan puasa;
Wahai pemuda hendaklah ingat,
Kerana mulut badan binasa.

Orang berkelah di Tanjung Rhu,
Sambil memanggang si ikan sepat;
Hendaklah banyak menghadap guru,
Supaya terang jalan makrifat.

Rendang sungguh pohon ara,
Tumbuh subur di tepi telaga;
Tidak salah berkenal mesra,
Tatasusila perlu dijaga.


Maksud:

Rangkap 1
Bekerjasama perlu diamalkan agar pekerjaan yang susah akan menjadi senang.
Rangkap 2
Seorang gadis perlulah menjaga maruah diri supaya terselamat daripada perkara yang tidak baik.
Rangkap 3
Mengikut tuntutan hawa nafsu akan merosakkan tubuh sendiri.
Rangkap 4
Percakapan yang tidak dijaga akhirnya akan membawa bencana kepada diri seseorang.
Rangkap 5
Seseorang murid itu hendaklah rajin berdamping dengan gurunya supaya apa-apa yang dipelajari akan lebih mudah difahami.
Rangkap 6
Kita digalakkan berkenal-kenalan antara satu sama lain namun batas-batas pergaulan perlulah dijaga.


Nilai
  1. Rasional. 
  2. Berwaspada.
  3. Bekerjasama. 
  4. Bersopan santun. 
  5. Bijak menjaga diri.

Pengajaran
  1.      Kita hendaklah bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
  2.      Kita perlulah bijak dalam menjaga marusah diri.
  3.     .Kita hendaklah bersikap rasional dan tidak mengikut hawa nafsu.
  4.     .Kita perlulah berwaspada ketika berbicara.
  5.     .Kita hendaklah berguru ketika menuntut ilmu supaya tidak terpesong.
  6.     .Kita hendaklah sentiasa menjaga adab dan tingkah laku.

Petikan: Lau, J., profile, V. and Lau, J. (2015). Pantun Nasihat (Bersatu Hati). Novelkomsasjawapan.blogspot.com. Available at: http://novelkomsasjawapan.blogspot.com/2015/05/pantun-nasihat-bersatu-hati.html
[Accessed 26 Oct. 2018].
4) Pandai Pak Pandir




Anak dipijak dagang dijinjing


Kucing dibunuh tikus dibela



Harta habis badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang

Mendengar guruh dilangit
Air di tempayan dicurahkan

Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak,
Gunting makan di hujung
Pak pandir juga menanggung.

Apa didengar gelagak dagang
Gelagak rambutan jantan:
Orang berbunga, dia berbunga
Orang berbuah, dia haram
Kilat memancar hujan tak jadi
Awak juga berkecundangan.


Maksud

Baris 1 dan 2: Pal Pandir berkelakuan aneh kerana mengetepikan anak sendiri, sebaliknya menyanjung orang luar. Pak Pandir membuat kerja yang sia-sia dan merugikannya.

Baris 3, 4 dan 5: Pak Pandir mengikut perangai orang luar tanpa menyedari keadaan dirinya yang miskin. Sebagai akibatnya, Pak Pandir kehabisan harta, kecuali dirinya sendiri.

Baris 6 dan 7: Pak Pandir terlalu cepat mengharapkan sesuatu keuntungan yang belum pasti sehingga apa-apa yang ada disia-siakannya.

Baris 8, 9, 10 dan 11: Pak Pandir leka dengan kata-kata manis orang dagang yang sebenarnya berniat jahat. Kata-kata manis itu sungguh bersopan tetapi amat tajam maknanya yang akhirnya merugikan Pak Pandir.

Baris 12-17: Kata-kata manis orang luar tidak mendatangkan hasil apa-apa, sebaliknya Pak Pandir sendirilah yang rugi atau menerima akibatnya.


Nilai
  • Rasional -- Contohnya, berfikiran rasional sebelum melakukan sesuatu tindakan.
  • Berhati-hati -- Contohnya, berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan.
  • Tolong-menolong -- Contohnya, sikap dan nilai baik ini jika dilakukan pada perbuatan negatif akan merugikan diri sendiri.
  • Mulia hati -- Contohnya, kemuliaan hati dan budi perlu disalurkan kepada orang yang sesuai. 
Pengajaran

  1. Kita hendaklah sentiasa melakukan kerja-kerja yang berfaedah.
  2. Kita hendaklah mengelakkan diri daripada mengharapkan sesuatu yang belum pasti.
  3. Kita hendaklah berhati-hati ketika melakukan sesuatu pekerjaan kerana kesilapan akan merugikan diri sendiri.
  4. Kita hendaklah mengelakkan diri daripada mudah terpengaruh oleh kata-kata yang manis kerana di sebalik kata-kata yang manis itu, lazimnya tersembunyi niat yang jahat.


Petikan

Scribd. (2018). Seloka Pandai Pak Pandir. [online] Available at: https://www.scribd.com/doc/25829797/Seloka-Pandai-Pak-Pandir [Accessed 28 Oct. 2018].

kalshom, u. (2013). STPM SASTERA MELAYU-SELOKA PAK PANDIR. [online] Umikalshom95.blogspot.com. Available at: http://umikalshom95.blogspot.com/2013/10/stpm-sastera-melayu-seloka-pak-pandir.html [Accessed 28 Oct. 2018].






5) KELEBIHAN ILMU


Ilmu itulah gemala sakti,
Sinarnya cerah cahaya sejati;
Asal puncanya lamun didapati,
Sukar bercerai sehingga mati.

Harganya tidak dapat ternilaikan,
Sebuah dunia belinya bukan;
Kuasanya besar sukat digunakan,
Di laut di darat di rimba di pekan.

Masa seorang ialah taulan,
Teman berbeza, suluh berjalan;
Masa berhimpun ia pengenalan.
Hias penyata polan si polan.

Bagi yang duka ia penghibur,
Ia penerang bagi yang kabur;
Ialah kandil di dalam kubur,
Lamun dengannya beramal subur.

Ia penerang jalan ke syurga,
Ia pemuas tekak yang dahaga;
Ialah sungai ia telaga,
Laut yang luas ialah juga.

Ialah alat sangat berguna,
Idaman orang yang bijaksana;
Hamparnya luas amat saujana,
Tepinya ajal sempadannya fana.




Maksud

Rangkap 1: Ilmu sangat bermanfaat kerana dapat menjadi panduan hidup. Apabila memperoleh ilmu, sepanjang hayat ilmu itu dapat dimanfaatkan.

Rangkap 2: Ketinggian nilai ilmu tidak dapat ditukarkan walaupun dengan sebuah dunia. Faedah ilmu tidak terhad dan boleh dimanfaatkan di mana-mana saja.

Rangkap 3: Ilmu menjadi penghias diri bagi seseorang, menjadi sahabat, dan menjadi teman yang memberikan panduan semasa mengembara. Dalam masyarakat, ilmulah yang membezakan seseoang daripada yang lain.

Rangkap 4: Ilmu dapat menghiburkan hati yang sedih, membantu seseorang memahami sesuatu perkara dengan jelas, dan digunakan selepas seseorang itu mati atau semasa di alam kubur. Hidup menjadi lebih bahagia dengan adanya ilmu.

Rangkap 5: Orang yang berilmu akan mendapat ganjaran pahala. Ilmu yang merangkum seluruh kehidupan dapat membantu seseorang mencapai citacitanya.

Rangkap 6: Ilmu ialah alat yang amat besar faedahnya. Orang yang bijaksana amat ingin memiliki ilmu. Sesungguhnya bidang ilmu sangat luas dan tiada batasnya.


Nilai
  • Ilmu dapat menjadi panduan dalam kehidupan.
  • Gigh berusaha demi menuntut ilmu.

Pengajaran
  1. Kita hendaklah menuntut ilmu kerana ilmu amat berguna lama ada semasa kita hidup ataupun selepas kita mati.
  2. Kita hendaklah menghargai ilmu kerana ilmu amat tinggi nilainya.
  3. Kita hendaklah menggunakan ilmu untuk mencapai cita-cita.


Petikan

Hafizah, N. (2018). Puisi-tradisional. [online] Academia.edu. Available at: http://www.academia.edu/5863188/Puisi-tradisional [Accessed 28 Oct. 2018].

Islamic.utm.my. (2017). Syair Kelebihan Ilmu. [online] Available at: http://islamic.utm.my/akmaliza/2017/01/07/syair-kelebihan-ilmu/ [Accessed 28 Oct. 2018].