Anak dipijak dagang dijinjing
Kucing dibunuh tikus dibela
Harta habis badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh dilangit
Air di tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak,
Gunting makan di hujung
Pak pandir juga menanggung.
Apa didengar gelagak dagang
Gelagak rambutan jantan:
Orang berbunga, dia berbunga
Orang berbuah, dia haram
Kilat memancar hujan tak jadi
Awak juga berkecundangan.
Maksud
Baris 1 dan 2: Pal Pandir berkelakuan aneh kerana mengetepikan anak sendiri, sebaliknya menyanjung orang luar. Pak Pandir membuat kerja yang sia-sia dan merugikannya.
Baris 3, 4 dan 5: Pak Pandir mengikut perangai orang luar tanpa menyedari keadaan dirinya yang miskin. Sebagai akibatnya, Pak Pandir kehabisan harta, kecuali dirinya sendiri.
Baris 6 dan 7: Pak Pandir terlalu cepat mengharapkan sesuatu keuntungan yang belum pasti sehingga apa-apa yang ada disia-siakannya.
Baris 8, 9, 10 dan 11: Pak Pandir leka dengan kata-kata manis orang dagang yang sebenarnya berniat jahat. Kata-kata manis itu sungguh bersopan tetapi amat tajam maknanya yang akhirnya merugikan Pak Pandir.
Baris 12-17: Kata-kata manis orang luar tidak mendatangkan hasil apa-apa, sebaliknya Pak Pandir sendirilah yang rugi atau menerima akibatnya.
Nilai
- Rasional -- Contohnya, berfikiran rasional sebelum melakukan sesuatu tindakan.
- Berhati-hati -- Contohnya, berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan.
- Tolong-menolong -- Contohnya, sikap dan nilai baik ini jika dilakukan pada perbuatan negatif akan merugikan diri sendiri.
- Mulia hati -- Contohnya, kemuliaan hati dan budi perlu disalurkan kepada orang yang sesuai.
- Kita hendaklah sentiasa melakukan kerja-kerja yang berfaedah.
- Kita hendaklah mengelakkan diri daripada mengharapkan sesuatu yang belum pasti.
- Kita hendaklah berhati-hati ketika melakukan sesuatu pekerjaan kerana kesilapan akan merugikan diri sendiri.
- Kita hendaklah mengelakkan diri daripada mudah terpengaruh oleh kata-kata yang manis kerana di sebalik kata-kata yang manis itu, lazimnya tersembunyi niat yang jahat.
Petikan
Scribd. (2018). Seloka Pandai Pak Pandir. [online] Available at: https://www.scribd.com/doc/25829797/Seloka-Pandai-Pak-Pandir [Accessed 28 Oct. 2018].
kalshom, u. (2013). STPM SASTERA MELAYU-SELOKA PAK PANDIR. [online] Umikalshom95.blogspot.com. Available at: http://umikalshom95.blogspot.com/2013/10/stpm-sastera-melayu-seloka-pak-pandir.html [Accessed 28 Oct. 2018].
No comments:
Post a Comment